Wednesday 1 May 2013

Budaya membaca masyarakat mulai meningkat

Budaya membaca masyarakat mulai meningkat

KUALA TERENGGANU 30 April - Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mengalu-alukan usaha anggota masyarakat untuk bersama-sama menggalakkan budaya membaca termasuk dengan mewujudkan perpustakaan umum atas inisiatif sendiri.
Ketua Pengarahnya, Datuk Raslin Abu Bakar, memberi contoh pesara guru, Mokhtar Yusof dari Kuala Ibai di sini yang berjaya mewujudkan 'Dusun Buku' di kediamannya yang ternyata sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk melahirkan bangsa Malaysia lebih berdaya saing menerusi amalan membaca berterusan.
Katanya, usaha Mokhtar pernah mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan melalui penyampaian Anugerah Penggiat Budaya Membaca pada Januari lalu.
''Sehingga kini saya difahamkan hanya satu individu yang mengusahakan Dusun Buku atau seumpamanya dan berkerjasma PNM,'' katanya kepada pemberita sempena Sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia 2013: Buku Bersama Komuniti di Pekarangan Dusun Buku di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Pengarah Perpustakaan Awam Negeri, Nok Akmal Abdul Fatah dan pemilik Dusun Buku, Mokhtar Yusof.
Dusun Buku mula diwujudkan pada April 2010 dengan permulaan 5,000 buku tetapi kini telah mencapai 13,000 buah sumbangan daripada pelbagai agensi termasuk individu.
Raslin berkata, menurut kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia, purata rakyat membaca kini melebihi 12 buku setahun berbanding lapan hingga 12 buku, seperti yang dilaporkan sedekad yang lalu.
''Ini berdasarkan berdasarkan beberapa indikator seperti kedai buku menjadi tumpuan, begitu juga jika adalah pameran dan pesta buku mendapat sambutan yang menggalakkan,''ujarnya.
Sempena dengan majlis itu, PNM turut menyumbangkan sejumlah bahan bacaan kepada Dusun Buku dan template Winisis iaitu sistem pengkalan data ringkas bagi memudahkan mengurus bahan bacaan.
Selain itu, Raslin memberitahu PNM akan menyediakan skim pinjaman buku secara berkelompok dengan permulaan 300 buku baru yang akan diberi pinjaman untuk tempoh hingga enam bulan.
PNM juga membantu dari segi latihan teknikal untuk membantu bagi membaik pulih buku-buku yang rosak, kata Raslin.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130501/dn_14/Budaya-membaca-masyarakat-mulai-meningkat#ixzz2S2ShdPHF
© Utusan Melayu (M) Bhd

MURID SK KAYAN KELUAR UTUSAN WEH..!


SEKITAR LAWATAN KE PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR 2013