Wednesday 24 April 2013

moh weh.. kita ke Pesta Buku Antarabangsa 2013!

Pesta Buku Antarabangsa 2013 janji kelainan

Abd Wahab Ibrahim (kiri) menyerahkan poster promosi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 kepada Timbalan Ketua Pengarang Bernama, Datuk Zakaria Abdul Wahab di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 23 April - Penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2013 dari 26 April hingga 5 Mei di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menjanjikan kelainan yang bakal memberikan pengalaman menarik kepada penggemar buku tanah air.
Pengarah PBAKL, Abd. Wahab Ibrahim berkata, pesta kali ini bukan sahaja memberi peluang kepada pengunjung melihat pameran buku dari seluruh dunia tetapi turut memperkenalkan program baharu yang wajib diintai oleh pengunjung.
"Pada tahun ini, kita bukan sahaja mengadakan 'kenduri buku' tetapi turut menampilkan penyertaan Arab Saudi sebagai tetamu istimewa yang akan mempamerkan acara kebudayaan serta lima buku mereka yang diterbitkan dalam bahasa Melayu.
"Selain itu, terdapat juga ruang buku digital serta hadiah istimewa cabutan bertuah berupa tiket penerbangan pergi dan balik ke Pesta Buku Frankfurt 2013 pada Oktober depan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau ditemui selepas membuat kunjungan hormat bagi menyerahkan jemputan rasmi kepada Utusan Malaysia sebagai rakan media pesta tersebut.
Beliau turut melakukan kunjungan hormat ke Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bagi tujuan sama.
Menurut Abd. Wahab, pengunjung yang inginkan tempat berehat dan bersantai sambil membaca secara percuma boleh berkunjung ke sudut khas dalam suasana rumah yang ditaja oleh rakan korporat PBAKL.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Serantau Komunikasi dan Duta Buku, Ishak Hamzah berkata, penganjuran PBAKL untuk kali ke-32 ini tidak hanya menggalakkan budaya membaca tetapi bertujuan menjana pemikiran masyarakat ke arah lebih kreatif.
"Tema tahun ini ialah 'Buku Menjana Kepintaran Kreatif' kerana kita tahu industri penerbitan bukan sekadar mencari untung tetapi untuk menjana pemikiran pelapis bangsa yang menjadi penentu masa depan negara," ujarnya.
PBAKL kali ini bakal menghimpunkan lebih 200 syarikat, agensi kerajaan serta swasta tempatan dan luar negara di 802 gerai pameran.
Pada tahun lalu, pesta anjuran Majlis Buku Kebangsaan Malaysia dan Kementerian Pelajaran ini berjaya menarik 1.6 juta pengunjung, sekali gus diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai pesta buku terbesar di rantau Asia Tenggara.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130424/dn_07/Pesta-Buku-Antarabangsa-2013-janji-kelainan#ixzz2RLKr8Y2Z
© Utusan Melayu (M) Bhd